Podenco Ibiza
Nama lain | Anjing pemburu sarang arnab Ibiza Anjing Ibiza Anjing pemburu Ibiza | |||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | Sepanyol | |||||||
| ||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Podenco Ibiza, anjing pemburu sarang arnab Ibiza,[a] anjing pemburu Ibiza,[b] atau anjing Ibiza[c] ialah satu baka anjing langsing dan tangkas daripada keluarga hound. Terdapat dua jenis bulu bagi baka ini: licin dan dawai. Jenis yang lebih umum terlihat ialah yang licin. Sesetengah pihak mempertimbangkan jenis ketiga, iaitu panjang, tetapi bulu panjang paling berkemungkinan merupakan variasi bagi jenis dawai.
Perihal
[sunting | sunting sumber]Penampilan
[sunting | sunting sumber]Anjing pemburu Ibiza ialah baka anggun dan tangkas, dengan garis kasar atletik dan menarik dan gaya ligas lompat yang meliputi tanah. Walaupun berpenampilan gemalai, ia mempunyai lilitan tulang bagus dan merupakan baka tahan lasak. Telinga menegak besarnya — mercu tanda baka ini — ebar di dasar dan membentuk hiasan kepala panjang dan anggun. Lehernya panjang dan langsing. Ia mempunyai susuan hadapan unik dengan bahu cukup santai dan lengan atas agak lurus. Dengan keberadaan keragaman berbulu licin dan keragaman berbulu dawai, lapis bulunya merupakan gabungan merah dan putih dengan hidung, telinga, pinggir mata, dan tapak kaki yang berwarna sawo matang cerah. Matanya berwarna ambar menonjol dan menampilkan wajah berwaspada dan cerdik. Anjing Ibiza berbeza-beza dari segi tinggi dengan ukuran tinggi 22–29 inci (56–74 cm) dan ukuran berat 45–65 paun (20–29 kg). Jantannya lebih besar daripada betina.
Perangai
[sunting | sunting sumber]Anjing pemburu Ibiza bersifat cerdas, giat, dan suka terlibat. Ia menempati tangga ke-53 dalam buku Stanley Coren The Intelligence of Dogs dan dianggap berkecerdaasan kerja/kepatuhan purata, namun ramai pemilik anjing Ibiza menyatakan banyak contoh kebolehannya dalam penyelesaian masalah. Ia merupakan "badut" sejati bagi dunia anjing, dengan menggelikan hati dalam menghibur orang dengan kelucuannya. Walaupun agak berdikari dan degil pada masa tertentu, ia berperilaku baik terhadap pelatihan jika kaedah positif digunakan, tetapi ia bakal membantah kaedah pelatihan dengan penderaan. Ia pada amnya senyap tetapi bakal menyalak sebagai peringatan jika perlu. Oleh itu, ia dapat menjadi anjing pengawal bagus. Ia merupakan anjing pemburu yang sensitif dan sangat baik di sekitar kanak-kanak dan anjing lain. Ia pada amnya sesuai sebagai anjing rumah namun ia aktif dan atletik. Maka, ia memerlukan banyak senaman harian. Ia tidak sesuai sebagai anjing kenel. Anjing pemburu Ibiza adalah manis, namu sangat degil dan berdikari.
Anjing pemburu Ibiza merupakan "ahli lepas diri": ia mampu melompati ketinggian menakjubkan dari kedudukan pegun. Maka, ia memerlukan pagar sangat tinggi. Ia juga telah diketahui memanjat dan banyak anjing dapat melepaskan diri dari sangkar dan mampu membuka pintu bayi, malah kunci. Ia mempunyai dorongan pemangsa kuat. Maka, ia tidak boleh dipercayai tanpa cawak melainkan di dalam kawasan selamat tertutup. Sebaik terlepas daripada cawak, ia mungkin tidak pulang buat masa yang lama. Anjing yang mengetahui kedudukan rumahnya dan persekitarannya biasanya pasti pulang tanpa kecederaan.[1][perlu rujukan]
Kesihatan
[sunting | sunting sumber]Anjing pemburu Ibiza merupakan anggota tipikal bagi kumpulan hound yang bermaksud bahawa ia jarang menderitai penyakit keturunan. Kebimbangan kesihatan kecil untuk baka ini termasuk sawan dan alahan; sangat jarang pula, terdapat distrofi akson, katarak, displasia retina, dan kepekakan pada baka ini. Para pemilik anjing pemburu Ibiza patut membawa anjing mereka supaya matanya diuji oleh doktor haiwan sebelum pembiakbakaan. Ujian CERF dan BAER disarankan untuk baka ini. Anjing pemburu Ibiza peka terhadap anestesia barbiturat dan biasanya hidup sehingga antara 12 dengan 14 tahun.[2]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Analisis DNA menunjukkan bahawa baka ini terbentuk tidak terlalu lama dahulu daripada baka-baka lain.[3][4]
Anjing pemburu Ibiza serupa dari segi fungsi dan jenis dengan beberapa baka seperti anjing pemburu firaun, cirneco Etna, pondengo Portugis, dan podenco Canaria. Anjing pemburu Ibiza merupakan baka terbesar dalam kalangan baka-baka ini, yang dikelaskan oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa sebagai jenis primitif.
Kegunaan
[sunting | sunting sumber]Baka ini berasal dari pulau Ibiza dan secara tradisional telah digunakan di kawasan berbahasa Catalan di Sepanyol dan di Perancis atas nama charnigue untuk memburu arnab dan buruan kecil lain. Anjing pemburu Ibiza ialah anjing pantas yang dapat berburu di semua jenis rupa bumi, dengan bekerja dengan bau, bunyi, dan penglihatan. Para pemburu mengatur anjing-anjing ini dalam kawanan yang kebanyakannya betina, mungkin dengan seekor atau dua ekor jantan, kerana betina dianggap sebagai pemburu lebih baik.
Secara tradisional, peladang mungkin memiliki seekor anjing dan peladang yang cukup berada mungkin memiliki dua ekor anjing untuk menangkap arnab untuk makanan. Walau bagaimanapun, dalam dua puluh tahun terkini, pemburuan arnab dipandang sebagai sukan yang melibatkan antara lima dengan lima belas ekor anjing yang ditonton dalam pengejaran arnab.
Orang berwibawa dalam soal anjing pemburu Ibiza, Miquel Rosselló, telah menyediakan perihal terperinci bagi ujian kerja yang mencirikan teknik dan tindakan perburuan tipikalnya,[5] dengan ilustrasi menonjol dengan foto aksi oleh Charles Camberoque[6] yang menunjukkan tingkah laku perburuan dan rupa bumi perburuan tipikal. Walaupun para pemburu tempatan pada masa-masanya menggunakan seekor anjing atau sepasang anjing, dan kerap juga sekawan enam hingga lapan ekor atau sehingga sebanyak lima belas ekor anjing, ujian kerja memerlukan penilaian bagi satu atau dua pasang anjing. Sepasang disebut colla. Pasangan patut diuji sekurang-kurangnya terhadap dua hingga lima ekor arnab (bukan kelinci), tanpa penggunaan sebarang bantuan perburuan lain. Pemeriksaan dan penilaian luaran, kebugaran, perwatakan, dan kepatuhan anjing disyorkan sebelum perburuan. Ujian ini disebut mempunyai 5 bahagian. Anjing patut menunjukkan: (1) penjejakan cermat dan penghiduan arnab, tanpa banyak terganggu, 0–30 mata; (2) pengisyaratan betul tentang buruan, pendirian sabar, lompatan kuat ke udara, kepatuhan 0–10 mata; (3) pengejaran, penyuaraan, kepantasan, kepastian, jangkaan 0–30 mata; (4) pengepungan buruan di kawasan sempit, pendengaran, penungguan, kepatuhan, serangan betul 0–10 mata; dan (5) penangkapan baik, atau penandaan betul bagi lokasi buruan, pengutipan, kepatuhan 0–20 mata.
Anjing individu diharapkan menunjukkan darjah disiplin tinggi, kepatuhan, dan kerjasama. Ia patut amat tangkas, mempunyai kelajuan bagus, dan lompatan mencancang berkuasa dari kedudukan pegus di tanah kasar dan kerap tertutup banyak. Ia patut mempunyai kebolehan cemerlang dalam penjejakan bau, memberikan suara pada masa betul apabila menghampiri buruan dengan dekat, dan sebaliknya senyap supaya ia dapat menentukan lokasi buruan dengan bunyi.
Di Amerika Syarikat, anjing pemburu Ibiza kerap dipertandingkan dalam lure coursing melalui AKC dan ASFA dan juga bertanding dalam perlumbaan lurus LGRA dan perlumbaan litar bujur NOTRA. Sesetengah bahagian negara itu juga menggunakan anjing ini untuk pengejaran buruan liar, ada amnya kelinci.
Baka anjing pemburu Ibiza diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa, Continental Kennel Club, American Kennel Club, United Kennel Club, The Kennel Club di Great Britain, Canadian Kennel Club, National Kennel Club, New Zealand Kennel Club, Australian National Kennel Council, America's Pet Registry, dan American Canine Registry. Ia sepenuhnya diiktiraf oleh American Kennel Club pada tahun 1979.
Dalam kebudayaan popular
[sunting | sunting sumber]Menurut wartawan Norman Lewis, apabila pemilik tidak lagi ingin memilik anjing ini (atas sebab seperti selera tinggi), pembunuhan anjing itu dianggap membawa sial keras. Sebaliknya, mereka melepaskan anjing itu di balik pulau supaya orang lain mungkin 'mengadopsi' haiwan tersebut.[7]
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ Jawi: ڤوديڠکو ايبيسا; انجيڠ ڤمبورو سارڠ ارنب ايبيسا ; Sepanyol: podenco ibicenco ; Catalan: podenc eivissenc ; bahasa Inggeris: Ibizan podenco; Ibizan warren hound
- ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو ايبيسا ; Catalan: llebrer eivissenc ; bahasa Inggeris: Ibizan hound
- ^ Jawi: انجيڠ ايبيسا ; Catalan: ca eivissenc; ca d'Eivissa
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "Ibizan Hound Dog Breed Information" [Maklumat Baka Anjing Anjing Pemburu Ibiza]. American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 Januari 2024.
- ^ Coile, D. Caroline (1 April 2005). Encyclopedia of Dog Breeds [Ensiklopedia Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: B.E.S. Publishing. m/s. 80. ISBN 9780764157004. OCLC 55886423.
- ^ Parker, Heidi G.; Kim, Lisa V.; Sutter, Nathan B.; Carlson, Scott; Lorentzen, Travis D.; Malek, Tiffany B.; Johnson, Gary S.; DeFrance, Hawkins B.; Ostrander, Elaine Ann; Kruglyak, Leonid (21 Mei 2004). "Genetic Structure of the Purebred Domestic Dog" [Struktur Genetik Anjing Bela Jinak Baka Tulen]. Science (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Amerika untuk Kemajuan Sains. 304 (5674): 1160–1164. Bibcode:2004Sci...304.1160P. doi:10.1126/science.1097406. ISSN 0036-8075. JSTOR 3836878. PMID 15155949. S2CID 43772173.
- ^ Perini, Francesco; Cardinali, Irene; Ceccobelli, Simone; Gruppetta, Anthony; San José, Carlos; Cosenza, Mario; Musso, Nicolò; Martìnez, Amparo; Abushady, Asmaa M.; Monteagudo, Luis V.; Liotta, Luigi; Lancioni, Hovirag; Attard, George; Lasagna, Emiliano (14 Januari 2023). "Phylogeographic and population genetic structure of hound-like native dogs of the Mediterranean Basin" [Struktur filogeografi dan genetik populasi bagi anjing asli mirip hound dari Lembangan Laut Tengah]. Research in Veterinary Science (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 155: 103–114. doi:10.1016/j.rvsc.2023.01.010. ISSN 1532-2661. PMID 36669378 Check
|pmid=
value (bantuan). S2CID 255923883 Check|s2cid=
value (bantuan). - ^ Cà Eivessenc: l'Alternativa/Podenco Ibicenco: La Alternativa (dalam bahasa Sepanyol). Palma de Mallorca, Sepanyol: Caixa de Balears Sa Nostra 1987
- ^ "Charles Camberoque" (dalam bahasa Perancis). Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Mei 2014. Dicapai pada 1 Januari 2024.
- ^ Lewis, Norman (2004). "7". A View of the World: Selected Journalism [Pandangan Terhadap Dunia: Kewartawanan Terpilih] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Eland Publishing. m/s. 83–90. ISBN 9780907871439. OCLC 59187486.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- Sighthound Sanctuary & Animal Services (dalam bahasa Inggeris) Diarkibkan 8 Oktober 2018 di Wayback Machine
- Foto Anjing Pemburu Ibiza
- Charles Camberoque: Foto Anjing Pemburu Ibiza yang bekerja (dalam bahasa Perancis) Diarkibkan 30 Mei 2014 di Wayback Machine
- Video: Cara Anjing Pemburu Ibiza Berburu (dalam bahasa Inggeris)
- Kelab Anjing Pemburu Ibiza (Eivissa) (dalam bahasa Sepanyol)
- Kelab Anjing Pemburu Ibiza Norway (dalam bahasa Inggeris) Diarkibkan 11 Ogos 2014 di Wayback Machine
- Kelab Anjing Pemburu Ibiza Switzerland (dalam bahasa Jerman)
- Kelab Anjing Pemburu Ibiza Jerman (dalam bahasa Jerman) Diarkibkan 27 Mei 2013 di Wayback Machine
- Penyelamatan Anjing Pemburu Ibiza di Sepanyol (dalam bahasa Inggeris)
- Anjing Pemburu Ibiza di United Kingdom (dalam bahasa Inggeris) Diarkibkan 28 Februari 2021 di Wayback Machine